Siti Mohani Saad
Popular ke kita ni, siapa tak kenal DJ….. dan DJ…..? Senang benar kita terpedaya dengan dunia glamor hingga kita lupa peranan dan tanggung jawab kita sebagai penyiar. Dulu dipanggil penyiar atau juruhebah, hanya sekarang lah nak lebih canggih, nak panggil DJ. Tak happening, tak glamour jika disebut penyiar atau juruhebah. Panggilan-panggilan seumpama ini lah yang membuatkan mereka yang menceburi dalam bidang ini lupa diri, lupa tanggung jawab sebenar. DJ, disc jockey, memanglah tugasnya menyiarkan lagu-lagu saja. Tapi kita di RTM ini adalah penyiar, bertanggung jawab untuk menyampaikan segala info yang dapat menjadi panduan masyarakat dengan cara yang dapat diterima dan difahami. Tak kiralah apa jua panggilan yang kita guna, kita mesti tahu siapa kita dan apa yang perlu dan tidak perlu dilakukan.

Kalau dibandingkan penyiar dulu dan sekarang, amat jauh bezanya. Maaflah kalau ada yang terasa. Kalau dulu, penyiarnya bertugas kerana minat dan bakat yang mereka ada tapi penyiar kini lebih utamakan bayaran dan dunia glamornya. Yang penting aku datang kerja, masuk konti, habis balik, esok datang lagi kalau ada nama dalam roster, cukup bulan dapat gaji. Tidak pernah terfikir, hari ini aku kerja, besok aku kerja juga, apa perubahan yang perlu aku laku kan atau ah…buat je lah…peduli apa, aku dibayar untuk bersiaran 3 atau 4 jam. Yang penting siaran berjalan. Sebab itu lah bila kita dengar radio, bosan, asyik-asyik cara yang sama dan kadang-kadang lagu yang sama diputarkan setiap kali bertugas hinggakan dah tau dah, siapa penyiar yang bertugas tanpa mendengar suaranya tetapi dengan mendengar senarai dan urutan lagu yang diputarkan.

Lebih teruk lagi bila ditegur, marah, terima dengan cara yang negatif dah lah tu, majikan pula mesti dengar kata mereka. Oh saya tak boleh bertugas waktu ini, hanya waktu tertentu saja yang saya boleh. Seolah-olah bagi mereka sesebuah stesen radio itu tidak dapat beroperasi tanpa mereka. Bila tindakan diambil, mulalah timbul perasaan tidak puas hati dan ada juga yang berdendam. Salah siapa sebenarnya? Senang saja kalau dah rasa tak dapat memberi komitmen di tempat kita mencari rezeki, buat pilihan mana yang baik.

Bukan nak menyalahkan mana-mana pihak, ketua atau kakitangan. Yang penting, sama-sama perlu saling berganding tenaga, jadikan stesen ini, stesen kita dan berbangga dengan apa yang kita lakukan dan bukan hanya kerana dibayar. Memanglah siapa yang tak nak duit tapi biarlah keduanya seimbang. Ketua diamanahkan untuk menentukan stesen diterima dan disukai ramai, apa yang disiarkan didengar dan memberi menafaat kepada mereka yang mendengar. Ketua juga mempunyai ketua yang lebih tinggi dan setiap tindakan dan arahan itu adalah mengikut apa yang telah ditentukan. Sebagai kakitangan pula, kita juga mempunyai tanggung jawab yang sama terhadap tempat kita mencari rezeki.

Apa pun sebenarnya, terpulang pada diri kita sendiri, jalan yang kita pilih untuk menunaikan amanah yang telah diberikan kepada kita. Gembira ke hati kita kalau apa yang diamanahkan kita abaikan????
Siti Mohani Saad
Dalam sesebuah organisasi mesti ada kumpulan yang menentukan perjalanan pentadbiran organisasi itu agar lebih baik. Sering kali keputusan akan dibuat bersama semua golongan pengurusan dan kekadang bersama dengan semua kakitangan yang terlibat. Tetapi sering timbul tanda tanya, kenapa setelah keputusan dibuat, masih tidak dipatuhi oleh semua yang terlibat. Dimana letaknya tanggung jawab kita sebagai individu yang menganggotai organisasi tersebut.

Kenapa mesti ada pula orang lain yang perlu mengingati kita setiap saat, setiap hari akan perkara yang perlu dibuat atau diambil tindakan. Tidakkah kita mempunyai tanggung jawab untuk meneliti semula keputusan yang dibuat dan ikut sebagaimana yang sepatutnya. Kalau tidak setuju kenapa tidak dibawa berbincang Kenapa mesti memberontak secara diam? Lebih menyedihkan lagi sekiranya keadaan ini dilakukan sendiri oleh kumpulan yang tergolong dalam peringkat pengurusan, kumpulan yang sama-sama membuat keputusan.

Siapa pun kita dalam sesebuah organisasi itu, kita semua bertanggung jawab terhadapnya, samada kita baru bekerja ataupun telah lama bertugas. Yang menyedihkan lagi, perkara seumpama ini dilakukan oleh mereka yang telah lama bertugas yang sepatutnya menjadi teladan kepada pelapis-pelapis baru. Cuba kita renungkan, jika kita menjadikan sikap buruk ini satu amalan, apa pula implikasinya terhadap diri kita sendiri, rakan setugas, ketua kita dan jabatan kita.

Sudah sampai masanya kita menghapuskan tohmahan terhadap ketidak keberkesanan peranan kita sebagai kakitangan Kerajaan. Kalau masih ada lagi yang berkata negatif terhadap kita, perlukah kita melenting sedangkan kita sendiri sedar, setakat mana kita melaksanakan tanggung jawab yang telah diamanahkan.

Ini tidak, bila ada suara-suara sumbang yang mengatakan kakitangan kerajaan tidak efisyen, ohhhhh… kita kecil hati dan kecewa. PATUTKAH????


‘Don’t ask yourself what the world needs. Ask yourself what makes you come alive and then go do it. Because what the world needs is people who have come alive’ : Harold Thurman Whitman, Philosopher.
Siti Mohani Saad
Semua kita takutkan feedback atau kita katakan kritik, kenapa ya? Mungkin takut untuk tahu atau dengar kebenarannya. kenapa kita selalu mengandaikan feedback itu dalam erti kata negatif? Bukankah feedback itu akan menjadi salah satu panduan untuk kita menentukan arah tuju dan memahami apa yang kita lakukan selama ini betul atau tidak. Sememangnya, kekadang tu, ada feedback yang diberikan hanya untuk menghalang kita melakukan sesuatu atau tidak mahu kita terus berjaya tetapi ada juga feedback yang sebaliknya. Di sinilah peranan kita untuk menilainya. Kita mesti berupaya mendengar, menilai dan mengambil tindakan.


Kita selalu bertindak secara yang tidak rasional bila mendapat feedback termasuk diri ku. Terus melenting dan mengaitkan dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya, seolah-olah cuba mencari salah orang yang mengkritik kita dan menutup kelemahan atau kesalahan diri sendiri. Unsur-unsur inilah yang sering membuatkan kita tidak dapat maju dan memberi tekanan kepada diri sendiri tanpa sebab.


Cuba perhatikan, dikalangan kita, tak kiralah di peringkat mana, boss atau kakitangan, ibu bapa atau anak-anak, suami atau isteri, sesama kekawan, bila dikritik mulalah kita membuat andaian sendiri, boss tak suka kita, ibu bapa tak sayang kita dan sebagainya. Ada setengah tu terlalu ego hingga tidak mahu lagi bertegur sapa. Salah ke kalau kita menerimanya dengan fikiran terbuka. Ambil tindakan berdiam dulu, tanya kepada diri kita, kenapa,? dimana salahnya? dan cuba berbincang semula dengan pengkritik tersebut, kenapa dia mengambil tindakan tersebut kerana ini tentu ada sebab musababnya dan sama-sama berbincang mencari penyelesaiannya . Keadaan ini akan mengujudkan keharmonian dalam apa jua situasi kita berada InsyaAllah.


Oleh itu sekiranya kita menerima feedback atau kritikan, tidaklah perlu berasa kecewa, menangis, marahkan orang memberi kritikan ataupun hanya buat-buat tak dengar kerana kritikan atau feedback itu hanyalah satu informasi. Terimanya dengan fikiran yang terbuka, tidak kiralah dalam bentuk negatif atau pun positif. Gunakannya untuk memperbaiki apa yang perlu.

'Feedback is the breakfast of the champion' : Ken Blancard & Spencer Johnsan, Coauthor of The One Minute Manager.
Siti Mohani Saad
Kita sering menyalahkan takdir bila sesuatu berlaku kepada kita. Apakah itu semua kenentuan takdir atau kita sendiri memilih takdir kita begitu? Bukankah hidup ini tanggung jawab kita? kita yang tentukan arah tujuan kita? Tetapi kenapa takdir disalahkan? Adakah ini hanya untuk menutup kelemahan diri? Menjadikan sesuatu yang lain sebagai mangsa agar kita tidak nampak bersalah dalam sebarang kepincangan yang berlaku hasil dari tindakan kita sendiri.


Seperti kata Jim Rohn - America's foremost business philosopher, 'you must take personal responsibility, you cannot change circumstances, the seasons or the wind, but u can change yourself' . Betul kata-kata ini, tiada siapa yang dapat mengubah apa yang berlaku kepada kita, jika tidak kita sendiri. Kita bertanggung jawab menentukan jalan kehidupan kita. Tidak perlu menangisi apa yang telah berlaku tetapi kita perlu berusaha menilai kenapa dan mengapa ia berlaku. Jawapan sebenarnya ada pada kita, kita yang menentukan kejayaaan dan kegagalan kita. Kalau kita sedar , ita yang mencipta apa yang berlaku, kita mesti berusaha mengubahnya dan mencipta semula semua itu mengikut acuan yang kita mahukan.


'It is time to stop looking outside yourself for the answer to why you haven't created the life and results you want, for it is you who creates the quality of the life you lead and the results you produce'...........'you ...no one else'...


'If you keep on doing what you have always done, you will keep on getting what you have always got. The day you change your responses is the day your life will begin to get better' : Jack Canfield


'All blame is a waste of time. No matter how much fault you find with another, and regardless of how much you blame him, it will not change you' : Wayne Dyer, coauthour of How to get what you really, really, really, really want.


Hidup ini kita yang tentukan jadi bertanggung jawablah terhadapnya. Sesiapa pun tidak dapat mengubah nasib seseorang itu, kecuali diri sendiri
Siti Mohani Saad
Sembahyang sunat hari raya....semua masjid akan penuh dengan semua umat Islam dari pelbagai lapisan umur, dari semuda-mudanya hingga setua-tuanya. Bangga sekali aku lihat anak-anak kecil yang dibawa ibu ke masjid walaupun mereka tidak sebenarnya bersembahyang tetapi mereka mengikut apa yang orang dewasa buat dan yang menariknya mereka tidak membuat sebarang bising semasa ibadat sembahyang dijalankan Alhamdulillah. Tahniah kepada ibu bapa yang sanggup berusaha mendedahkan anak-anak kecil mereka ke jalan yang dituntut Allah.



Begitu juga, terdapat ramai golongan warga emas yang terpaksa bertongkat, dipimpin oleh sanak saudara dan ada juga yang berkerusi roda yang tidak mahu ketinggalan. Terlintas difikiran ku, kadang-kandang kita yang sihat walafiat dan mempunyai kudrat melaksanakan sembahyang sunat setahun sekali itu masih tidak berminat untuk menunaikannya tapi lihatlah mereka, kekurangan yang ada bukan satu halangan malah mereka lebih bersemangat. Sedih dan kekesalan ku rasakan, banyak kali juga aku tidak menunaikan sembahyang sunat ini, yang aku sendiri tidak tahu apa alasannya.

Kehadiran ku di Masjid Sungai Lokan tahun ini, seolah-olah membuka lembaran baru dalam pemikiran ku bagaimana nikmatnya dapat menunaikan sembahyang beramai-ramai berjumpa saudara mara dan teman taulan yang lama tak jumpa, maklumlah aku tidak tinggal di kampong. Aku berdoa akan terus terbuka hati aku untuk tidak mengabaikan sembahyang sunat Aidilfitri ini yang hanya akan kita tempuhi setahun sekali. InsyaAllah.


Ya Allah, berilah rahmat dan hidayah Mu kepada hamba mu yang lemah ini.

Siti Mohani Saad
Aidil Fitri adalah hari kemenangan. Menang dalam menunaikan ibadat puasa sepanjang bulan Ramadhan, menang melawan hawa nafsu, menang dalam mengikis sikap negatif dalam diri dan banyak lagi kemenganan. kalau hendak disenaraikan entah bila senarai ini akan tamat.


Seperti biasa setiap tahun, aku akan beraya di kampong. Walaupun mak dan ayah dah kembali ke Rahmatullah, adik dan keluarga masih di sana. Seronok beraya dengan mereka, dipenuhi dengan gelak ketawa, gurau senda maklumlah bukan selalu kami dapat berkumpul seperti ini. Ini adalah tahun ke-2 beraya tanpa mak dan tahun ke-14 tanpa ayah. Semeriah macam mana pun, ketiadaan mereka tetap dirasakan. Kenangan beraya dengan mereka masih segar diingatan. Apa yang dapat ku berikan hanya doa dan ziarah ke pusara mereka di pagi raya semoga roh mereka sentiasa dirahmati dan di tempatkan Allah bersama-sama orang yang beriman.


Aidil fitri, hari kita bermaaf-maafan dan saling ziarah menziarahi mengeratkan lagi tali silaturrahim diantara kita. Lupakan segala persengketaan lalu, lahirkan persahabatan baru di atas landasan yang di redhai Alah swt.


Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir dan batin.
Siti Mohani Saad
Apa peranan boss dan apa peranan kakitangan? soalan yang lapukkan. Tetapi ada yang masih tercari-cari bila sesuatu berlaku. Boss dan kakitangan sepatutnya saling bekerjasama, saling bertukar pendapat dan saling bertanya khabar untuk kepentingan bersama. Boleh dikatakan complement each other.

Bila sesuatu terjadi, terutamanya bila kakitangan membuat kesalahan, perlukah seorang bos terus melenting?? tanpa bertanya khabar terlebih dahulu, kenapa dan mengapa kesalahan itu berlaku? Boss is not always right, kan? tapi biasalah itu yang sering terjadi Boss is always right. Sekiranya ini berterusan, ia bukan saya menghilangkan rasa hormat kakitangan terhadap boss tetapi juga akan demotivate kakitangan dan sekiranya ini berlaku, semua akan rugi.


Kakitangan juga hendaklah sentiasa peka dalam menjalankan tugas, tahu apa kehendak jabatan dan keperluan pada masa dan ketika itu. Sikap memandang ringan terhadap tugas yang telah diamanah juga akan mengundang padah dan akan menjatuhkan imej jabatan.


Renung-renungkan lah kembali peranan kita semua dalam sesebuah organisasi.
Siti Mohani Saad
Hari ini, 18 September 2008, kami semua berhimpun di auditorium untuk mendengar amanat YB Menteri Penerangan dalam perhimpunan bulanan. Ramai yang hadir, rakan-rakan daripada semua agensi di bawah Kementerian Penerangan.

Apa yang menarik dalam perhimpunan tersebut?? Aku amat terkejut bila YB Menteri bertanya 'adakah Kementerian Penerangan masih relevan?'. Ia buat aku tertanya-tanya maksud di sebaliknya, tapi bila YB memberi penerangan, terdetik di hati, memang patut soalan itu diajukan dalam keadaan sekarang. Kata YB kita perlu 'upgrade' diri kita agar kita akan terus menjadi relevan.


Aku ingin sentuh Jabatan yang aku anggotai. Matlamat asal kami adalah untuk menyampaikan maklumat dari pelbagai aspek untuk pengetahuan rakyat serta mengubah minda mereka ke arah yang lebih positif. Adakah peranan ini telah dilaksanakan dengan sempurna. Memang ya, tidak dapat dinafikan tetapi persoalannya adakah semua kita warga kerja jabatan melaksanakan amanat tersebut dengan ikhlas dan jujur.


Dalam situasi sekarang dimana maklumat disebar secara meluas, dengan pelbagai cara dan medium, peranan kita memang wajar dipersoalkan. Jika kita sama-sama tahu peranan kita dan iklas dalam tugasan melaksanakan amanah yang telah diberikan tentu kita tetap akan relevan sampai bila-bila.


Kita mesti berupaya menyampaikan segala maklumat demi untuk kepentingan rakyat, setia kepada pemimpin, serta terus menyedarkan rakyat, segala apa yang mereka nikmati sekarang adalah hasil daripada usaha berterusan pemimpin-pemimpin kita dalam menjamin kesejahteraan kita semua.


Sekiranya kita berterusan menjalankan tugas-tugas kita, pasti kita akan tetap relevan walau apa pun perkembangan yang ada dalam penyebaran maklumat. Tiada siapa yang boleh menggalas tanggung jawab ini sebagaimana yang kita lakukan.
Siti Mohani Saad
Budaya kerja cemerlang!!!!!!!!!!!!!! Ayat keramat. Susah ke kita nak amalkan.

Tiap kali bermesyuarat dengan pihak atasan jabatan, kami sering diingatkan untuk memastikan semua kakitangan mematuhi budaya kerja yang baik dan cemerlang. Bekerja dengan jujur, ikhlas dan amanah. Datang pejabat tepat pada waktunya, tidak ponteng, bukannya datang punch in pagi, kemudian hilang dan datang semula untuk punch out bila tiba waktu balik. Jalankan setiap tugas yang diamanahkan.

Adakah semua ini hanya menjadi tugas ketua jabatan untuk memastikan semua kakitangan mematuhi semua peraturan ini. Apa tidak ada kah sikap tanggung jawab pada setiap individu yang telah diberikan kerja bergaji?

Pening juga kepala dibuatnya, banyak kerja yang perlu disiapkan di pejabat demi untuk memantapkan produktiviti tapi ditambah pula tugas untuk memantau di mana kakitangan berada sedangkan itu adalah tanggung jawab setiap individu yang bergelar pekerja.

Dimana letaknya rasa tanggung jawab kita, tak rasa bersalah ke dengan sikap negatif itu. Kalaulah ini berterusan siapa yang perlu di salahkan kalau prestasi jabatan terjejas. Adakah ini tanggung jawab satu pihak saja?

Dirasakan sebagai petugas tak kiralah dimana kita berkerja, tak kiralah apa pangkat kita, kita mesti bersikap bertanggung jawab, menjalankan amanah yang telah diberikan kepada kita serta sayangkan tempat kerja kita. Ini perlulah menjadi amalan kerana disitulah kita mendapat rezeki untuk menyara keluarga.

Kejayaan sesuatu jabatan atau agensi adalah tanggung jawab semua yang bergelar petugas, yang menganggotai jabatan itu. Bukannya tugas bos saja, atau tugas pekerja saja. Semuanya adalah satu pasukan. Kejayaan dan kegagalan adalah tanggung jawab bersama.

Cuba-cubalah kita renungkan.
Siti Mohani Saad
Ramadhan, bulan kita beramal biar dari segi rohani mahu pun jasmani. Bulan yang penuh keberkatan, bulan yang mengajar kita untuk bersabar dan menahan segala unsur negatif dalam diri kita. Tapi sedihkan bila kita lihat masih ada dikalangkan kita yang menganggap ramadhan sama seperti bulan-bulan yang lain.

Ramadhan juga bulan yang penuh ujian. Sabar kah kita dalam berbelanja. Tiga hari yang lalu, berada di KL atas urusan rasmi. Terpaksalah berbuka puasa kat luar. Bersama 2 kawan yang lain kami berbuka di sebuah restoran di pusat membeli belah terkemuka di KL.

Kelakar juga lihat masyarakat kita menunggu untuk berbuka puasa. Bila waktu menunjukkan 7.20 malam, masing-masing memandang antara mereka, takut nak mula berbuka. Dah masuk waktu ke belum dan masing-masing tersenyum tak pasti jam di tangan betul ke tidak. Salah seorang kawan ku terpaksa menalipon anaknya di UM nak tanya dah boleh berbuka ke. Tersenyum mereka yang berhampiran dengan meja kami melihat gelagat kawan yang satu ni tapi itu kira cara terbaiklah kan.

Alangkah baiknya kalau ada pihak restoran dapat memberitahu pelanggan, yang telah masuk waktu untuk berbuka, maklumlah pelanggan tak dapat nak pastikan kerana tidak dipasang radio atau pun TV untuk mendengar pengumuman masuknya waktu berbuka puasa.

Lagi satu yang menarik perhatian, banyaknya makanan yang diminta tapi bila selesai makan, masih banyak makanan di atas meja masing-masing yang tidak dapat dihabiskan. Membazir betul, itulah kita kan semasa bulan puasa ini semua rasa nak makan hingga lupa besar mana perut kita.

Ini memberi pengajaran, yang kita mestilah berpada-pada dan tidak membazir. Tak baik membuang rezeki.
Siti Mohani Saad
18 ogos yang lalu aku berkursus di Chennai, India selama 2 minggu. Kursus Training of Trainers yang keseluruhannya dibiayai oleh Radio Netherland Training Center, Hilversum, Netherland. Kursus bagus dan amat berkaitan dengan tugasan harian ku.

Tapi apa yang nak dikongsikan, pengalaman di Chennai. Amat menakjubkan dan amat bertentangan dengan apa persepsi ku sebelum ke sana. Chennai adalah destinasi pertama ku ke India walaupun aku sering beranggan untuk ke Kashmir, Ooty and Agra. Peminat filem hindustanlah katakan.

Penduduknya begitu ramai. Bas penuh seperti sardin, motosikal dan basikal banyak sekali begitu juga kereta dan auto (macam beca kita di sini tapi bermotor) dan tidak ketinggalan begitu ramai yang berjalan dan menunggu bas. Keadaan jalan raya terlalu bising, bagi kita di Malaysia kalau kita bunyikan hon di jalan raya dianggap biadap tetapi sebaliknya pula di sana. Bayangkan kalau kita berjam-jam di jalan raya...boleh tahan juga rasa bingit telinga ni. Mulanya aku terfikir bagaimana aku akan berada di sana selama 2 minggu. Tapi selepas tu seronok pula. Hidup mereka interesting dan dapat ku rasakan keseronokkan melihat mereka.

Walaupun jalan begitu sesak tapi tak nampak pun sebarang kemalangan dan kalau ada kemalangan kecil-kecil mereka biarkan je. Bayangkan kalau kita kat sini, sikit bergesel sikit pun dah boleh menyebabkan kesesakan jalan raya berjam-jam. Tapi kalaulah mereka juga bersikap begitu, tak tahulah macam mana keadaan di jalan raya disana.

Rakyatnya masih berpegang kepada tradisi, terutama wanitanya. Tak ternampak pun mereka memakai jean atau t shirt tetapi hanya sari dan salwar walaupun dikalangan anak gadis. Dapat dirasakan mereka terlalu lalu bangga dengan tradisi dan budaya mereka. Cuba kita tengok filem-filem mereka, biar filem hindi atau tamil, banyak tradisi dan budaya serta nilai-nilai hidup mereka yang dipaparkan.

Alangkah bangganya kalau kita dapat berbuat sebegitu.
Siti Mohani Saad

Transfer..magic word...siapa pun tak suka. Maklumlah bukan mudah, walau apa pun status kita, berkeluarga atau tidak. Tapi selalu dikatakan single senang di tukar kemana saja...tak adilkan anggapan macam tu. Tapi tak apalah, itu kan manusia sentiasa ada pendapat yang memihak kepada diri sendiri.

Tapi bila difikirkan, perpindahan itu ada kebaikannya, sedangkan Nabi pun berhijrahkan untuk kebaikan. Perpindahan membuat ku lebih matang, ramai kenalan dan pengalaman hidup dipelbagai tempat, bergaul dengan bermacam rentak dan sikap manusia.

Langkawi banyak membuka mata dan minda ku dalam karier, tempat pertama aku berkhidmat sebagai ketua stesen, selalunya pengalaman pertama adalah pengalaman yang tak dapat dilupakan. Bukan saja tempatnya memukau hati tapi warga kerjanya juga ‘very supportive’. Kami bagaikan keluarga dan amat mengembirakan dan kami masih keluarga hingga hari ini. Bila saja menjejakkan kaki ke langkawi, rasakan bagai balik kampong, ada keluarga yang menunggu.

Tapi yang indah itu akan tetap berakhir juga. Setelah 4 tahun, aku ditukarkan ke kedah. Mungkin perpindahan ini menguji sejauh mana semangat kekeluargaan kami akan berkekalan. Ya, kami masih sama, mungkin aku salah tapi bagi ku, aku masih sayangkan semua di langkawi sama seperti dulu.

Kedah, distesen yang lebih besar dan tentulah cabarannya juga besar tapi Alhamdulillah, aku dapat diterima dengan baik di sana walaupun mungkin ada yang tidak tapi biasalah kan, kita manusia dan itu adalah lumrah tapi aku gembira, satu lagi pengalaman yang yang tidak dapat dilupakan.

Pelbagai insiden yang berlaku, kalau boleh ditakrifkan kepahitannya amat sangat, benar benar menguji aku tapi Alhamdulillah berkat kesabaran, ketabahan, percayakan diri sendiri serta ketentuan Illahi, aku berjaya mengharungi semua itu. Aku rasa lebih kuat dari segi semangat dan ketakwaan.

Lebih kurang 2 tahun setengah aku di kedah. Di sebalik apa yang aku lalui, masih ramai yang sayang dan hormati aku, yang membuatkan aku gembira di sana. Mereka juga keluarga ku kini walau pun telah sekali lagi dipindahkan ke pulau pinang.

Apa yang diharapkan, pulau pinang akan menjadi satu lagi destinasi yang akan menambahkan pengalaman dan ahli keluarga ku. InsyaAllah.